Aku Hanya Menumpang

Setiap Langkah Akan Bermakna... Setiap Gerak Pasti Berubah...

Al-Fatihah untuk Allahyarham Norfarahdini Zakaria

Pelumba basikal wanita negara maut

IPOH 6 April - Pelumba basikal lebuh raya negara, Norfarahdini Zakaria maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan rakan pelatih semasa menjalani latihan di Kampung Pokok Sena, Bota Kiri, hari ini.

Norfarahdini, 27, yang pernah mewakili negara semasa Sukan SEA di Laos, baru-baru ini, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Mangsa yang belum berkahwin, dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan dalaman di bahagian kepala.

Menurut jurulatih lumba basikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd. Salmiza Salleh, Norfarahdini menyertai lima pelumba basikal dari TLDM berlatih bagi menghadapi kejohanan Jelajah Malaysia (JM) pada hujung bulan ini.

Katanya, mengikut jadual, latihan tersebut bermula dari Pangkalan TLDM Lumut melalui Seberang Perak dan Ayer Tawar sebelum berpatah balik ke Pangkalan TLDM Lumut.

''Semasa sedang berkayuh di Bota Kiri pukul 10.20 pagi ini, basikal yang dinaiki seorang pelatih, Mohd. Shahrulnizam Che Shamsuddin hilang kawalan lalu terjatuh.

''Norfarahdini yang mengikut rapat di belakang gagal mengelak lalu merempuh basikal Mohd. Shahrulnizam dan tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari basikalnya," katanya ketika ditemui di bilik mayat HRPB di sini hari ini.

Selepas kemalangan itu, kata Mohd. Salmiza, Norfarahdini kemudian dikejarkan ke sebuah klinik desa di Bota Kiri sebelum dihantar ke Hospital Changkat Melintang.

''Hospital Changkat Melintang kemudian memindahkan Norfarahdini ke HRPB dan dia disahkan meninggal pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

''Mohd. Shahrulnizam pula hanya mengalami kecederaan di bahagian bahu dan mendapat rawatan di Hospital Angkatan Tentera TLDM Lumut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lumba Basikal TLDM, Komander Ismail Osman berkata, Norfarahdini merupakan pelumba basikal sepenuh masa TLDM dan sudah berkhidmat dengan pasukan itu sejak sembilan tahun lalu.

''Jenazah Norfarahdini akan dibawa pulang ke Pangkalan TLDM untuk disembahyangkan sebelum dihantar pulang ke kampungnya di Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan malam ini.

''Keluarganya sudah diberitahu tentang kemalangan yang menimpa Norfarahdini," katanya.

1 comments:

Dinie..semoga rohmu dicucuri rahmatNya..alfatihah..will miss u always...